Home » , , , » Hukum Dan Kepentingan Membaca Al-Quran Bertajwid

Hukum Dan Kepentingan Membaca Al-Quran Bertajwid

Written By puterablog1malaysia on Tuesday | 6:28 AM


Sebelum kita membicarakan hukum membaca al-Quran dengan bertajwid, ada baiknya dijelaskan tentang hukum mempelajari ilmu tajwid terlebih dahulu. 

Hukum mempelajari ilmu tajwid adalah fardu kifayah bagi umat Islam. Maksud belajar ilmu tajwid itu sebagai fardu kifayah, bererti mestilah ada dalam sesuatu tempat itu seorang atau beberapa orang yang mengetahui ilmu tajwid sebagai rujukan bagi masyarakat setempatnya. 

Jika tidak ada seorang pun di kawasan tersebut yang mahir dalam ilmu tajwid maka kesemua penduduk kawasan tersebut menanggung dosa.

1. Dalil daripada Ayat al-Quran

Apabila ditanya tentang hukum membaca al-Quran dengan bertajwid sama juga bila persoalan apakah hukum mengetahui dan mempraktikkan ilmu tajwid semasa membaca al-Quran. Hukum mengegetahui dan mempraktikkan ilmu tajwid dalam bacaan al-Quran adalah fardu ‘ain ke atas setiap muslim tidak kira lelaki atau pun perempuan. Apabila seseorang itu membaca al-Quran walaupun sedikit, mestilah dia membacanya dengan bertajwid. Sekalipun semasa bacaan al-Quran itu dikira sebagai sunat (membaca al-Quran yang tidak wajib seperti dalam solat) al-Quran itu wajib dibaca dengan bertjwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan. Dan sesiapa yang membacanya tanpa tajwid serta bacaannya boleh mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan yang membaca al-Quran dengan tidak bertajwid dan berubah maknanya termasuklah dalam golongan yang dilaknati al-Quran itu sendiri, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

رب قارئ القرءان والقرءان يلعنه

Maksudnya: 

Ramai orang yang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatnya.


Laknat ini terjadi apabila pembaca membacanya tanpa tajwid, seperti mana yang disuruh oleh Allah Taala dalam firmannya yang beraksud :

“Bacalah al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)”.

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. membaca al-Quran yang diturunkan kepada baginda dengan tartil. Tartil bermaksud mengelokkan sebutan setiap huruf-hurufnya, dalam erti kata lain membaca al-Quran dengan bertajwid.

Dalam Surah al-Baqarah ayat 121 antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud:


Orang-orang yang Telah kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu
beriman kepadanya.

Walaupun pada dasarnya hukum mempelajari ilmu tajwid adalah fardu kifayah, tetapi tidak mungkin tercapai matlamat pembacaan al-Quran dengan tajwid yang betul (fardu ‘ain) kecuali terlebih dahulu mempelajarinya. Ini kerana tidak ada seorang pun di dunia ini yang dilahirkan dengan kepandaian dalam sesuatu ilmu kecuali dia 

mempelajarinya terlebih dahulu. Begitu juga dengan ilmu al-Quran yang pembacaannya diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya secara musyafahah dari mulut ke mulut hingga sampai kepada kita pada hari ini tidak mungkin dapat dikuasai kecuali dengan mempelajarinya terlebih dahulu (Surur Shihabuddin An-Nadawi, 2004).

2. Dalil daripada as-Sunnah

Dalil as-Sunnah tentang wajib membaca al-Quran dengan bertajwid pula sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. (isteri Nabi s.a.w.) apabila ditanya bagaimanakah bacaan Rasulullah s.a.w. dan solat baginda, maka beliau menjawab:

فقالت ما لكم وصلاته كان يصلي ثم ينام قدر ما صلي ثم يصلي قدر ما نام ثم ينام قدر ما صلي حتى يصبح ثم نعتت قراءته فاءذا هي تنعت قراءة مفسرة حرفا حرفا

Maksudnya: 

“Ketahuilah kamu semua, adalah baginda s.a.w. solatkemudian tidur dengan kadar baginda solat tadi, kemudian baginda solat semula dengan kadar tidur tadi hingga menjelang subuh, kemudian (Ummu Salamah) menunjukkan cara bacaan Rasulullah s.a.w., maka beliau menunjukkan(satu) bacaan yang menjelaskan (sebutan) huruf-hurufnyasatu persatu”. (Hadith Jamik At-Tarmizi)

Zaid bin Thabit telah menyebutkan sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi :-


"ان الله تعالي يحب أن يقرأ القرءان غضا كما أنزل"

Maksudnya:


“Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hambanya membaca al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan”

فانه سيجي قوم بعد يرجعون القرءان ترجيع الغناء والرهبانية والنوح
لا يجاوز حناجرهم مفتونة وقلوب من يعجبهم

Maksudnya:

Sesungguhnya akan datang beberapa golongan sesudah aku, orang-orang yang membaca al-Quran seperti cara orang bernyanyi, cara orang ahli kitab dan cara seperti orang meratap, yakni keluarnya huruf-huruf yang melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan makhraj al-huruf, semata-mata tujuannya mempersona dan menakjubkan orang sahaja.


Lagu fasik ialah lagu yang bukan berasal dari lagu arab yang diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat huruf. Adapun lagu nyanyian ahli kitab iaitu lagu yang dilakukan seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana dapat melalaikan sebutan huruf.

3. Dalil daripada Ijmak Ulama

Telah sepakat para ulama sepanjang zaman dari zaman Rasulullah s.a.w. sehingga sekarang dalam menyatakanbahawa membaca al-Quran secara bertajwid adalah suatu yang fardu dan wajib. Pengarang kitab Nihayah menyatakan:-

“Sesungguhnya telah sepakat semua imam dari kalangan ulama yang dipercayai bahawa Tajwid adalah suatu yang wajib sejak zaman Nabi s.a.w. lagi sehinggalah sekarang dan tiada seorang pun yang mempertikaikan kewajipan ini”.

Menurut Mazhab Imam As-Syafie, bahawa memelihara pembacaan kitab Allah Taala iaitu membaca secara bertajwid yang mu’tabar di sisi ahli Qiraat adalah suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu adalah berdosa dan karut (Abdullah al-Qari bin Haji Solleh, 1994).

Imam Ibnu Jazari pula menyatakan dalam kitab puisinya (Muqaddimah) telah berkata:-

والاخذ بالتجويد ختم لازم
من لم يجود القرءان ءاثم 
لأنه به الاله أنزلا 
وهكذا منه الينا وصلا 
وهو أيضا حلية التلاوة 
وزينة الأداء والقراءة

Ertinya:

Mengamalkan tajwid itu suatu kewajipan
Kerana berdosa tidak mengelokkan bacaan
Kerana Quran itu turunnya dari Tuhan
Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan
Tajwid juga perhiasan bacaan
Dan hiasan sebutan dan bacaan


Sheikh Qurra’ Mesir, As-Sheikh Muhammad bin Ali bin Khalaf al-Husaini dalam kitabnya " القول السديد " (Menulis Menurut Hukum), bahawa membaca al-Quran secara bertajwid itu adalah wajib dan diberi pahala bagi pembacanya, manakala membaca al-Quran tanpa tajwid (secara bacaan yang salah) adalah berdosa. Mempelajari ilmu tajwid adalah fardu ‘ain bagi orang-orang yang hendak membaca al-Quran, kerana al-Quran itu adalah diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. secara bertajwid (bacaan yang elok) dan ia juga telah sampai kepada kita secara mutawatir (Abdullah al-Qari bin Haji Solleh, 1994).

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan keutamaan membaca al-Quran dengan tajwid yang betul sebagaimana ia diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w.. Oleh yang demikian, membaca al-Quran dengan tajwid yang betul adalah fardu ‘ain bagi setiap umat Islam sama ada lelaki atau pun perempuan yang mukallaf, maka hukum mempelajari ilmu tajwid yang pada asalnya adalah sunat telah menjadi wajib kerana tuntutan tersebut. Oleh kerana mengamalkan ilmu tajwid adalah satu kewajipan, maka dapatlah disimpulkan bahawa mempelajarinya juga merupakan satu kewajipan demi menyempurnakan tuntutan Allah Taala.

KEPENTINGAN TAJWID DALAM BACAAN AL-QURAN

Ilmu tajwid adalah ilmu yang berhubung dengan seagung-agung kitab iaitu al-Quran. Maka tidak dapat dinafikan lagi tentang kepentingan serta faedah mempelajari ilmu tajwid. Antara kepentingan-kepentingan membaca al-Quran dengan mengamalkan hukum tajwid ialah seperti berikut:

1. Memelihara daripada kesalahan-kesalahan dalam menbaca al-Quran.

Dengan mempraktikkan ilmu Tajwid dalam pembacaan al-Quran, seseorang itu akan terhindar daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang merosakkan bacaan atau mencacatknya. Sekiranya membaca al-Quran dengan tajwid yang betul merupakan stu kewajipan bagi setiap muslim, maka membacanya dengan tajwid yang salah merupakan suatu dosa. Kesalahan dalam bacaan al-Quran terbahagi kepada dua, iaitu:-

i. Kesalahan Nyata (لحن الجلي )

Al-Lahn al-Jali (اللحن الجلي ) ditakrifkan oleh Ibn al-Jazari sebagai kesalahan yang berlaku pada lafaz yang membawa kepada kerosakan makna dan uruf bacaan. Kesalahan nyata bermaksud kesalahan yang dilakukan pada struktur perkataan sama ada kesalahan itu mencacatkan makna perkataan atau tidak. Perkataan Jali (جلي ) di sini bermaksud sesuatu kesalahan yang dapat disedari dengan jelas dan terang-terangan. Seorang ulama Mutaakhirin, Dr. AbdulAziz Abdul Fattah al-Qari talah mengemukakan takrifan dengan berkata: Kesalahan yang berlaku pada lafaz-lafaz dan menyebabkan kerosakan makna kalimah secara jelas dan perkara tersebut diketahui oleh ulama dan juga orang awam.

Hukum melakukan kesalahan nyata ini adalah haram secara Ijmak Ulama tidak kira kesalahan itu dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja atau tidak diendahkan.

ii. Kesalahan Tersembunyi (لحن خفي )

Al-Lahn al-Khafi ( اللحن الخفي ) ditakrifkan sebagai kesalah yang dilakukan pada sebutan, di mana kesalahan itu menyalahi cara sebutan yang telah ditetapkan bagi sesuatu perkataan atau ayat al-Quran tanpa merosakkan makna. Kesalahan tersembunyi ini hanya dapat disedari oleh mereka yang mahir dalam tajwid dan ia tidak disedari oleh orang awam.

Hukum melakukan kesalahan tersembunyi dalam bacaan adalah haram jika dilakukan dengan sengaja atau mempermudahkannya dan sebahaghian ulama menghukumkannya sebagai makruh. Oleh itu haram bagi orang yang telah mempelajari dan mengetahui ilmu tajwid tetapi tidak mengamalkannya dalam bacaan. Bagi orang yang tidak mempelajari ilmu Tajwid maka wajiblah mereka belajar untuk menghindarkan dirinya daripada berterusan melakukan kesalahan tersebut.

2. Meningkatkan Minat Membacaal-Quran

Berkat penguasaan ilmu Tajwid maka para pembaca al-Quran akan yakin bahawa mereka akan terhindar dari sebarang kesalahan, seterusnya dengan adanya penguasaan ilmu Tajwid juga kualiti bacaan al-Quran akan terpelihara. Apabila tajwid itu betul maka kecenderungan minat untuk membaca al-Quran akan lebih meningkat lagi, kerana adanya perkaitan hati sanubari dengan ayat-ayat yang dibaca. Dengan demikian, kecenderungan tersebut bukan hanya di dalam peningkatan membacanyanya sahaja, bahkan lebih cenderung untuk mendalami makna-makna yang terkandung di dalam al-Quran. Apabila terdapat motivasi sedemikian dalam diri individu, membaca al-Quran akan menjadi dasar dalam kehidupan manusia dan menjadi insane yang bertaqwa kepada Allah. Seterusnya Allah akan memberikan darjat yang tinggi di akhirat kelak.

Bagi mereka yang menyukai al-Quran sama ada minat untuk membacanya atau minat dalam mencapai kefahaman ayat-ayatnya mendapat perumpamaan seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. :-

فضل القرءا على سائر الكلام كفضل الرحمن على سائر خلقه

Maksudnya:

Keutamaan al-Quran dibanding dengan lain-lain ucapan, adalah seperti keutamaan Allah dibanding dengan seluruh ciptaanNya. Riwayat Baihaqi.

Dari makna hadith di atas jelas kepada kita bahawa mempelajari al-Quran sama ada membacanya hinggalah memahami makna yang terkandung di dalamnya merupakan suatu perbuatan yang paling utama dibandingkan dengan lain-lain perbuatan.

3. Mencapai keyakinan dalam pembacaan al-Quran yang betul.

Apabila seseorang itu mengetahui tentang hukum tajwid akan merasa yakin semasa membaca al-Quran. Mereka tidak lagi merasa ragu tentang apa jua bentuk ayat atau hukum bacaan yang ditemui di mana-mana tempat dalam al-Quran yang sebanyak 30 juzuk itu.

Bagi golongan yang tidak tahu tentang hokum tajwid mereka akan gelisah dan tidak tenang dalam bacaannya kerana tidak yakin betul atau salah ayat yang di bacanya dari segi hukum tajwid.

4. Mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat 


Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadith nabi yang menerangkan tentang kelebihan membaca al-Quran yang menjamin kebahagiaan seseorang di dunia dan di akhirat, antaranya ialah firman Allah Taala dalam Surah al-Fatir ayat 29 dan 30:-

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan shalat dan menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi. Agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Dalam hadith riwayat Uthman bin Affan r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:-

خيركم من تعلم القرءان وعلمه

Maksudnya:

Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Quran dan mengajarnya. (Sahih Bukhari)

Dalam masa hayat Rasulullah s.a.w. al-Quran dibacakan dengan penuh khusyuk dan bertajwid. Bacaan baginda penuh menggambarkan pengertian dan maksud-maksud yang dikehendaki. Oleh kerana itu pembaca-pembaca al-Quran hendaklah membaca sebagaimana bacaan Rasulullah s.a.w. supaya Kitab itu selalu memberi kesan dan pengaruh kepada pembaca dan pendengarnya. Nabi Muhammad s.a.w. telah pun bersabda:


من قرأ القرءان فأعرب في قرأته كان له بكل حرف عشرون حسنة ،
ومن قرأ بغير اعراب كان له بكل حرف عشر حسنا ت

Maksudnya:

Sesiapa yangmembaca al-Quran menurut lidah yang terang (fasih) ia memperolehi 20 ganjaran kebajikan dengan setiap huruf yang dibacanya, dan sesiapa yang membaca al-Quran dengan sebutan bukan arab adalah ia memperolehi 10 ganjaran kebajikan dengan setiap huruf yang dibaca.

Ruj:Masjid Al-Ehsaniah.

0 Rakyat Bersuara:

Post a Comment

Recommend on Google