Home » » KEBERKATAN DAN KEREDHAAN ALLAH YANG DICARI DALAM PEKERJAAN KITA SEHARIAN

KEBERKATAN DAN KEREDHAAN ALLAH YANG DICARI DALAM PEKERJAAN KITA SEHARIAN

Written By puterablog1malaysia on Thursday | 8:30 AM



Sebagai seorang muslim, kita telah digesa untuk melakukan kerja dan mencari kelebihan kurniaan Allah s.w.t dimuka bumi ini dengan bersungguh-sungguh bagi menampung segala keperluan hidup. Kita ditegah untuk mengharapkan datangnya rezeki tanpa usaha dan ikhtiar dan hanya semata-mata menyerahkan urusan rezeki atas kurniaan Allah s.w.t, sesungguhnya itu adalah bertentang dengan konsep Ahlul sunnah waljamaah, iaitu perlu ada usaha dan ikhtiar dalam mendapat sesuatu kurniaan Allah s.w.t. Gesaan untuk bekerja ini juga telah dijelaskan dalam banyak ayat Allah s.w.t antaranya :

1. "Dan sesungguhnya kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur,tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".(Al-A'raaf ayat 10)

2. "Dan kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya)masa untuk mencari rezeki". (Al-Anbiyaa' ayat 11)

Perkara penting dalam memahami konsep pekerjaan ialah sesuatu kerja yang dilakukan itu termasuk dalam salah satu cabang ibadat yang jika dilakukan mengikut cara dan bertepatan dengan kehendak syariat, maka ia dinilai sebagai ibadat. Hasil pendapatannya juga akan menjadi halal dan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Sebaliknya, jika berlaku perkara yang berlawanan, maka ia tergolong daripada kerja-kerja yang dilarang dan sudah pasti pendapatannya juga akan menjadi haram atau termasuk dalam kategori subahat (kesamaran/keraguan).

Matlamat sesuatu kerja yang Islam gariskan itu adalah jelas iaitu setiap kerja yang kita lakukan sebenarnya adalah beribadat kepada Allah s.w.t . Apabila kita menjadikan sedemikian, sudah pasti kerja yang kita lakukan akan cemerlang dan terpelihara daripada perbuatan yang tidak diredhai Allah s.w.t. Ini termasuklah perbuatan menyeleweng,menipu,menyalah guna kuasa,rasuah dan seumpamanya yang menjadi punca kepada kerja yang kita laksanakan tidak mendatangkan hasil yang cemerlang dan sudah pasti tiada keberkatan dalam kerja tersebut. Ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh saidatina aisyah r.a :

"Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang yang melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan cemerlang".

Hakikat kerja yang kita lakukan adalah berkaitan dengan pendapatan atau gaji. Dari pendapatan inilah kita gunakan untuk menyara ahli keluarga dan menampung segala kuasa kehidupan yang lain. Islam amat menitikberatkan soal pendapatan. Ini kerana ia melibatkan soal makanan harian kita. Mahukah kita jika kehidupan kita sentiasa dilingkari dengan pendapatan yang haram atau subahat?. Pastinya kita tidak mahu. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita berkenaan hasil yang kita perolehi dengan sabdanya :

"Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya".Riwayat At-Tarmizi

Peringatan ini sewajarnya menjadikan kita lebih berwaspada, semoga amaran ini menjadi pegangan kepada setiap orang Islam. Kita perlu menyedari betapa Islam amat menjaga soal pendapatan dan hasil kerja yang kita lakukan setiap hari.

Dewasa ini, ramai di kalangan kita memilih kerjaya dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan, maka berbagai bentuk perniagaan yang dijalankan, termasuklah perniagaan melalui internet dan sebagainya.

Di antara perkara asas untuk menjadikan kerja yang kita lakukan dinilai sebagai ibadat dengan menjana pendapatan yang halal, berkat dan bertepatan dengan kehendak syarak, ianya dijelaskan seperti butiran berikut :

Pertama : Niat untuk melakukan kerja itu mestilah betul.

Bila kita ingin memulakan sesuatu perniagaan, persoalan yang perlu ditimbulkan, apakah niat kita apabila menceburkan diri dalam perniagaan tersebut?. Adakah kerana cita-cita yang tinggi untuk menjadi kaya dan beriman kepada Allah atau sebaliknya?.Adakah kita berniaga semata-mata untuk menyayangi rakan kita yang telah mencapai kejayaan dan hidup mewah?. Adakah kita berniaga lantaran kerana terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan walau pun tanpa ilmu perniagaan dan kemahiran dalam bidang tersebut?. Sebenarnya banyak persoalan niat ini yang boleh dipersoalkan. Maka sebagai orang yang ingin memulakan perniagaan,perlu bertanya apakah tujuan ia berniaga?. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan umatnya dengan bersabda :

"Sesungguhnya segala amal yang dilakukan berdasarkan kepada niat dan sesungguhnya sesuatu amalan itu akan diterima oleh Allah s.w.t berdasarkan kepada apa yang diniatkan".

Kedua : Kerjaya yang diceburi mestilah diredhai oleh Allah s.w.t mengikut hukum syarak.

Perkara yang menjadi sumber pendapatan kita mestilah diredhai Allah s.w.t dan dibenarkan syarak. Sudah semestinya perkara yang melibatkan unsur perjudian, barang yang memabukkan,penyeludupan dan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum adalah tidak diredhai Allah dan haram di sisi syarak. Oleh yang demikian perkara tersebut perlu dielakkan dan dijauhi.

Ketiga : Pelaksanaan kerja tersebut mestilah betul.

Syarat ini adalah melibatkan cara kerja yang kita buat. Walaupun kerja atau perniagaan yang kita ceburi itu adalah yang halal dan sah, namun jika pelaksanaannya tidak betul, sudah pasti hasilnya tidak sah seperti adanya unsur-unsur penipuan dalam pengurusan,unsur riba', perjudian dan seumpamanya. Semua perkara ini termasuk dalam erti kata pelaksanaan yang tidak betul dan tidak telus.

Perkara ke-empat : Tidak meninggalkan perkara asas yang diterima syariat dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Kerja yang berkat dan sempurna ialah kerja yang sentiasa patuh dengan peraturan dan melaksanakan perintah Allah s.w.t. Setiap pekerjaan yang dilakukan janganlah mengabaikan ibadat asas seperti solat, jika solat diabaikan, maka dengan mudah seseorang itu memandang remeh tentang hak-hak pengeluaran zakat dan pembiayaan sedekah kepada yang sepatutnya, hilangnya maruah dan harga diri dalam soal menjaga aurat,berbagai bentuk pendustaan lagi dan seumpamanya sehingga menjadikan kerja tersebut tiada keberkatan. Seseorang yang melakukan kerja, tetapi meninggalkan solat tidaklah dianggap kerjanya diterima sebagai ibadat. Sebaliknya orang yang bekerja dan berniaga mengikut syariat dengan melakukan kelima-lima syarat tersebut dianggap telah bertakwa, beribadat dan mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w berpesan dengan sabdanya :

"Sebaik-baik pekerjaan itu ialah usaha seseorang pekerja apabila ia berbuat dengan sebaik-baiknya". Riwayat Ahmad

Sifat jujur dan ikhlas perlu diutamakan dalam melaksanakan tugas sebagai pekerja. Kejujuran dan keikhlasan ialah membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain keredaan Allah s.w.t. Perlu diingat bahawa setiap tindakan kita, pasti tidak lari daripada pengawasan Allah s.w.t.

"Dan katakanlah (wahai muhammad): "beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah s.w.t dan rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah s.w.t) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".At-Taubat ayat 105

0 Rakyat Bersuara:

Post a Comment

Recommend on Google