Home » » Mati selepas memeluk Islam

Mati selepas memeluk Islam

Written By puterablog1malaysia on Sunday | 8:44 AM





Meninggal Dunia Serta Merta Selepas Memeluk Islam

Apabila seorang bukan Islam mengucapkan atau melafazkan dua kalimah syahadah :


اشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله


Ertinya : “ Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allh dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah,”

Dengan hati yang ikhlas dan penuh keyakinan, maka dia sudah beragama Islam atau menjadi orang Islam.



Kemudian apabila dia meninggal dunia di dalam agama Islam dan akhir ucapannya sebelum meninggal dunia ialah kalimah لا إله إلا الله (Tidak ada Tuhan melainkan Allah), maka dia dijamin masuk syurga berdasarkan hadis:

من كان آخر كلامه: لا إله إلا الله دخل الجنة
(رواه أبو داود عن معاذ)

لا إله إلا الله Maksudnya: “ Sesiapa yang mengucapkan ucapan terakhirnya sebelum mati kalimah:
Dia masuk syurga.”

(Hadis riwayat Abu Daud daripada Mu’adz)


Apabila dikatakan “di meninggal duni serta merta,” maka perkataan serta merta itu dapat difahami. Pertama: Dia meninggal dunia secara tiba-tiba tanpa didahului sakit atau tanda-tanda kematian dan kedua: Dia meninggal dunia sebaik saja masuk Islam atau sebaik saja mengucap dua kalimah syahadah.


Orang Islam yang meninggal dunia dalam keadaan pengertian pertama itu jelas dia dihukumkan mati dalam Islam, bahkan kematian seperti ini merupakan satu keselesaan bagi orang beriman sebagaimana ditakhrijkan oleh Al-Baihaqi di dalam kutab Syu’ab Al-Iman daripada Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair, katanya: “Aku bertanya kepada Aisyah Radhiallahu ‘anha tentang mati secara tiba-tiba, adakah ianya tidak disukai?” Aisyah menjawab: “Mengapa pula ia tidak disukai?”Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alihi wasallam mengenai perkara mati secara tiba-tiba, lalu Baginda pun bersabda:


راحة للمؤمن وأخذه أسف للفاجر


Maksudnya: “(Mati secara tiba-tiba) satu keselesaan bagi orang beriman, dan satu kemurkaan kepada orang yang jahat.” (Ibnu atsir, An-Nihayah 1/48)

Adapun orang yang bukan Islam meninggal selepas mengucapkan dua kalimah syahadah, maka hendaklah dilihat keadaannya:

Jika orang berkenaan masuk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah sebelum saat ghargharah, maka dia dihukumkan sebagai orang yang mati di dalam Islam. Manakala jika dia mengucap dua kalimah syahadah dalam keadaan ghargharah, dia tidak dihukumkan sebagai orang Islam berdasarkan hadis:





عن ابن عمر، عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: إن الله يقبل توبة العبد ما لم يغرغر

(حديث حسن، رواه الترمذي)


Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang itu selama dia belum ghargharah.”

(Hadis hasan, riwayat Tirmidzi)



Tentang pengertian “belum ghargharah” di dalam hadis ini, Ibnu Atsir berkata: “Yakni sebelum roh sampai kepada halqum (pertengahan leher).” (An-Nihayah 3/360)

Mengikut pengertian ini, apabila orng kafir mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh kesedaran sebelum rohnya sampai ke halqum semasa proses pencabutan rohnya, maka dihukumkan dia sebagai orang Islam.

Dengan itu, sesiapa saja (jika asalnya bukan Islam) mengucap dua kalimah syahadah sebelum saat ghargharah, sama ada matinya secara serta merta atau secara biasa, dia tetap dihukumkan sebagai orang Islam dan perkara ini samalah dengan orang Islam yang berdosa, kemudian dia bertaubat sebelum ghargharah, maka taubatnya itu diterima oleh Allah. Sebagai orang Islam maka berjalanlah hukum-hakam mengenai dirinya seperti disempurnakan jenazahnya sebagai orang Islam.

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned
Tarikh Diisu : 2000

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000

0 Rakyat Bersuara:

Post a Comment

Recommend on Google