Home » , , , » Gangguan Orang Ketiga Merosakkan Hubungan

Gangguan Orang Ketiga Merosakkan Hubungan

Written By puterablog1malaysia on Wednesday | 2:52 AM



Berdosa jalin hubungan dengan individu yang sudah berumah tangga, apatah lagi menyebabkan berlaku perceraian

KAJIAN Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 mendapati antara punca utama perceraian hari ini ialah suami curang atau isteri enggan dimadukan membabitkan 12 peratus, selain sikap suami yang tidak bertanggungjawab dengan 11.5 peratus.


Hakikatnya, keruntuhan hidup pasangan suami isteri sehingga berlaku perceraian sering dikaitkan dengan kemunculan orang ketiga, sama ada campur tangan keluarga atau pasangan menjalin hubungan dengan individu lain.

Mengulas isu orang ketiga ini, pakar motivasi terkenal, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata, individu yang berniat untuk meruntuhkan rumah tangga orang lain adalah melakukan dosa, malah menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang juga haram hukumnya.

Ini termasuk mengirim khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) atau mengadakan pertemuan dengan seseorang yang sudah mendirikan rumah tangga.

Menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang haram hukumnya kerana pujuk rayu dalam perhubungan itu punca kepada kejahatan sebab Allah sudah mengatakan jangan hampiri zina.

Jika wanita mengetahui lelaki yang didampingi itu adalah suami orang, tetapi tetap meneruskan perhubungan berkenaan, ia membuktikan wanita terbabit memiliki iman yang lemah dan hati yang keras,katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Wan Akashah berkata, berdasarkan pengalaman, punca utama kepada permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga biasanya disebabkan lelaki yang menjerumuskan diri mereka dalam hubungan terlarang seperti itu.

Katanya, kepercayaan isteri terhadap suami yang keluar rumah untuk mencari rezeki dikhianati apabila suami menggunakan kesempatan berada jauh daripada isteri untuk bersama wanita lain.

Suami yang berlaku curang sebenarnya sudah melanggar amanah Allah kerana isteri adalah amanah yang diberi kepada mereka untuk dijaga sebaiknya.

Malah, jika hati isteri disakiti, dikecewakan, dianiaya atau isteri berasa kecil hati sekalipun, itu adalah satu penganiayaan dilakukan suami yang termasuk dalam pengabaian nafkah batin,katanya.

Katanya, isteri yang tidak mampu menangani masalah seumpama itu diharuskan untuk menuntut cerai daripada suami sama ada melalui cerai taklik, fasakh atau khuluk.

Banyak kes membabitkan orang ketiga ini berlaku dan haram hukumnya jika orang ketiga ini merampas hak wanita lain dan memisahkan hubungan antara suami dan isteri serta ayah dan anak-anak.

Sebenarnya, lagi terkenal seseorang individu itu, lagi besar ujian yang dihadapinya dan ianya perlu dilalui dengan penuh kesabaran.

Untuk melepasi ujian yang mencabar hingga boleh menjejaskan nama baik, kita perlu menjaga hubungan dengan Allah dan kecuaian dalam hal penting itu menjadi punca berlaku perkara tidak diingini, katanya.

Paling penting, katanya, pasangan yang berhadapan dengan masalah orang ketiga perlu bermuhasabah diri, mencari kesilapan dan memperbaikinya.

Selepas itu, perlu menjauhkan diri daripada orang ketiga ini dan tidak boleh menjadikannya sebagai kawan sekalipun kerana jika niat baik, ia tetap menimbulkan fitnah. Kena tutup buku dan jangan buka ruang langsung kepada orang ketiga ini, katanya.

Penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, pula berkata Islam sudah menetapkan peraturan berhubung pergaulan antara lelaki dan wanita.

Kita perlu tahu tanggungjawab dan pandai mengawal diri kerana jika dalam hati ada perasaan terhadap orang lain, ia sangat berbahaya. Bagi pasangan yang diganggu orang ketiga, mereka perlu berbincang untuk mengatasi masalah itu bagi mengelak perceraian dan untuk orang ketiga pula,dinasihatkan supaya tidak membina rumah tangga atas kehancuran hati wanita lain.

Jika orang ketiga itu sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan, dia perlu memahami hati isteri pertama yang rela berkorban untuk menerima kehadirannya kerana ia bukan satu keputusan yang mudah,katanya.

Hakikatnya, impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga mahu bahtera yang dilayari itu kekal sehingga ke akhir hayat, tetapi ada di antaranya yang rebah di pertengahan jalan. Cabaran kehidupan berumahtangga diumpamakan seperti membina rumah di tepian pantai, yang akan dipukul gelora tanpa mengira masa dan hanya mereka yang kental saja mampu mendepani cabaran itu.

0 Rakyat Bersuara:

Post a Comment

Recommend on Google