Home » » Kepentingan Menghargai dan Bersyukur

Kepentingan Menghargai dan Bersyukur

Written By puterablog1malaysia on Monday | 2:45 AM

Hasan Al-Bashri ditanya tentang rahsia zuhudnya. Ia menjawab: “Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itu, kalbuku selalu tenang. Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan orang lain, kerana itu, aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu Allah SWT mengawasiku, kerana itu, aku selalu merasa malu Dia melihatku dalam keadaan maksiat. Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itu, aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Allah SWT."


Manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, sesempurna kesempurnaan seorang manusia yang diberi tugas besar sebagai Khalifah dimuka bumi ini. Allah SWT telah membekalkan kepada manusia keistimewaan-keistimewaan dan kelebihan berbanding dengan makhluk Allah yang lain.

1. Hargailah dan Syukurilah setiap sesuatu yang kamu miliki.

Ia tidak semestinya harta dan material, ia juga mencakupi kesihatan kita, usia kita yang masih hidup hingga hari ini, setiap hari masih ada makanan untuk kita makan, masih ada orang yang mahu menegur kita, masih ada orang yang mengucapkan "selamat pagi, atau salam sejahtera, atau assalamualaikum".

Syukurilah segala nikmat Allah dari sekecil-kecil yang selama ini tidak kita hiraukan seperti udara yang percuma, keupayaan membuang air kecil, deria anggota tubuh badan, dan sebagainya lagi yang tidak dapat kita sebutkan satu persatu, akan nikmat Allah pada makhluknya.

Adalah sangat mudah untuk menyebutkan perkara-perkara yang kita tidak miliki, tetapi, luangkanlah sedikit masa setiap hari untuk bersyukur sekurang-kurangnya pada 5 perkara yang kita perolehi pada hari ini. Ketika memikirkan 5 perkara ini, hayatilah betul-betul dan rasainya ke dalam perasaan kita.

Bayangkan seorang kanak-kanak kecil yang kamu kenali, yang kamu berikan hadiah atau makanan, tetapi kanak-kanak itu tidak menghargainya, membuangnya atau mengutuk pemberian kamu itu, adakah kebarangkalian untuk kamu membelikan lagi hadiah kepada kanak-kanak itu?

Bagaimana pula jika kanak-kanak itu menunjukkan perasan gembira dan suka pada pemberian kamu itu, mengucapkan terimakasih, menjaga dengan baik hadiah pemberian kamu, sering menunjukkan pada kamu hadiah itu setiap kali kamu berjumpa dengannya? Bagaimanakah pula kebarangkalian untuk kamu memberikan lagi hadiah kepada kanak-kanak itu?

Begitulah perbandingan antara Tuhan dan hamba-hambanya. Firman Allah: "Barangsiapa yang mensyukuri nikmatKu, maka Aku akan menambahkan lagi nikmat Ku kepadanya"

Oleh itu bersyukurlah, berterimakasihlah, dan Allah SWT akan menambahkan lagi apa yang kita ada.

Jika dalam Hukum Tarikan, kita belajar bahawa mewujudkan keinginan itu amat penting, maka dalam Hukum Kecukupan, kita mempelajari bahawa Mensyukuri dan Menghargai nikmat itu amat penting. Kedua-dua perkara ini saling berkait antara satu dengan yang lain.

2. Wujudkan suatu persekitaran, kekuatan atau vakum pada diri kita, dimana semua perkara yang baik sahaja berada disekeliling kita.

Jangan isikan hidup kita dengan perkara-perkara yang sebenarnya kita tidak betul-betul perlukan. Ini adalah pembaziran. Walau pun kamu seorang jutawan, tidak bermakna kamu boleh membazir. Ingat! Membazir adalah sifat syaitan dan perlu dijauhi.

Tanyalah diri setiap kali bila keluar berbelanja, adakah barangan yang ingin kita beli itu, benar-benar kita perlukan atau tidak. Kecukupan bukan bermakna diri kita penuh dengan barangan yang kita tidak perlukan. Kecukupan dalam hidup adalah dengan mencari dan memperolehi perkara-perkara dan pengalaman yang benar-benar berguna untuk diri kita. Contohnya membeli sesuatu barangan kerana kita diberitahu oleh kawan, bahawa kita perlu ada barangan tersebut. Mungkin bagi kawan kita, barangan itu memang berguna untuk dirinya, tetapi tidak pada kita. Maka elakkanlah perkara ini dari berlaku. Kenalpasti keinginan kamu!

Mulakan membersihkan persekitaran peribadi kamu, bilik kamu dari benda-benda yang tidak digunakan lagi atau yang tidak kamu perlukan. Isikan wardrobe kamu dengan pakaian-pakaian yang relevan dan kamu perlukan. Yang memang tidak akan kamu pakai, sedekahkan pada orang yang memerlukannya. Kemas meja kamu dari nota-nota atau kertas yang lebih merupakan sampah sahaja. Kemaskini dokumen-dokumen kamu dengan sistem fail yang tepat dan kemas. Bersihkan longkang dirumah kamu, atau kosongkan tong sampah kamu. Berdisiplinlah dengan hidup ini. Buang semua cara berbelanja yang membazir. Bebaskan pemikiran , cara bercakap, apa yang kamu percaya, tindakan-tindakan kamu, yang selama ini berasaskan tidak cukup dan tidak puas.

3. Bersedekah dan berderma.

Jadilah seorang yang pemurah. Kita sentiasa inginkan agar Allah SWT menunjukkan sifat PemurahNya pada kita, tetapi adakah kita seorang yang pemurah dengan kemampuan diri yang ada pada kita? Dalam Islam "Satu sedekah ganjarannya adalah Sepuluh kali ganda" maksudnya setiap satu sedekah yang ikhlas dari kita, maka Allah SWT akan membalas balik dengan sepuluh kali ganda dari apa yang kita sedekah.

Dalam Hukum Tarikan, amalan bersedekah amat disarankan kerana dengan bersedekah, kita menghantar frekuensi bahawa kita mempunyai lebihan wang, maka kita menarik tenaga kecukupan pada diri kita. Sedekah juga mengajar hati kita menjadi bersih, ikhlas, dan dapat menghayati dan memahami kesusahan orang lain. Maka jadilah dermawan. Senyum juga satu sedekah. Bersedekahlah dengan apa yang anda miliki, tidak semestinya wang. Anda juga boleh berdoa untuk kesejahteraan orang lain, menyedekahkan tenaga dan sebagainya dengan ikhlas.

Rezeki dalam bentuk apa juapun adalah tenaga, sebagaimana yang kita semua faham bahawa seluruh alam ini, termasuk diri kita, adalah terdiri dari zarah-zarah atom yang merupakan tenaga. Tenaga bergetar dan bergerak dalam satu aliran-aliran yang tersendiri.

Cuba kita lihat pergerakkan udara (angin) dalam sebuah bilik yang tertutup, hanya tingkapnya sahaja yang terbuka. Kebarangkalian untuk angin mengalir masuk melalui tingkap adalah amat sedikit walaupun masih ada cukup udara dan oksigen. Sekarang, kita buka pintu bilik itu, anda akan dapat rasakan angin bertiup mula masuk melalui tingkap itu dan keluar melalui pintu kerana sudah ada aliran untuk udara keluar masuk.

Begitu juga lah dengan rezeki dan kecukupan diri kita. Rezeki akan datang melimpah-ruah andainya kita sedia berkongsi apa yang kita perolehi (bersedekah/murah hati) dengan orang lain. Tidak semestinya wang, ilmu juga jika disimpan, tidak diamalkan dan tidak disampaikan, ianya tidak akan bertambah malah menjadi semakin malap.

4. Maafkan semua perkara yang menyakitimu.

Bebaskan hatimu dari dendam. Apabila kamu masih menyimpan kemarahan, tidak kira atas alasan apa pun, sebenarnya, kamu hanya menyakiti dirimu, bukan menyakiti orang yang kamu marahi. Dendam dan marah hanyalah membuatkan kita sentiasa hidup pada hari semalam, dimana hari kita berasa disakiti ini hanya akan menyulitkan kita untuk maju ke hadapan dan memiliki masa depan yang baik.

Maafkan sesiapa yang telah melukakan kamu, bersalah denganmu. Luangkanlah dalam 10 minit sehari dengan mengucapkan:

"Aku maafkan dan bebaskan ..... dan aku harap mereka bahagia dan mereka akan pergi dari ku."

Antara kebaikan yang akan anda rasai apabila memaafkan seseorang:

1.Hati akan menjadi bersih/suci

2.Fikiran menjadi tenang

3.Penyakit rohani dan jasmani mudah sembuh

4.Wajah lebih cantik/tampan kerana wajah adalah cermin hati

5.Suntikan hidayah akan memasuki jiwa anda

6.Rezeki akan dipermudahkan dan mula melimpah ruah

7.Mula dapat merasai kehadiran kasih sayang yang banyak dari berbagai sudut

8.Diri akan menjadi lebih produktif kerana anda lebih bertenaga dan bersemangat

9.Doa cepat dimakbulkan

10.Kemampuan tenaga zahir dan batin akan meningkat

Praktikkan cara-cara ini, semoga akan dapat menukar minda kita kepada manusia yang berfikiran Serba Cukup. Dengan mengamalkan Hukum Kecukupan ini, semoga Hukum Tarikan akan mudah dimanifestasikan. Semoga kita semua beroleh Rahmat dan Petunjuk dari Allah S.W.T sentiasa.

Hidup ini adalah indah, apabila kita benar-benar bersyukur. Segalanya terletak pada hati/perasaan dan fikiran/minda kita. Kita harus melihat pemberian Allah SWT dengan mata rohani, sehingga mampu merasakan kekayaan rohani yang kita miliki. Keselamatan, kesihatan, ketenangan, keyakinan iman dan banyak lagi lainnya adalah kekayaan rohani yang sangat mahal harganya. Allah SWT tidak pernah melupakan hamba-hamba-Nya, manusialah yang lupa kepada-Nya kerana sedikit sekali manusia yang bersyukur kepada pencipta-Nya.

Sabda Rasullullah S.A.W : "Pada anggota manusia itu, ada seketul daging, jika baik daging itu, maka akan baiklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan dengan daging itu adalah hati/perasaan".

wallahuaklamubissawab

0 Rakyat Bersuara:

Post a Comment

Recommend on Google