Home » , , , , , » Berfikir merupakan 1 Ibadah!!

Berfikir merupakan 1 Ibadah!!

Written By puterablog1malaysia on Monday | 9:33 AM



Pendahuluan:
Di dalam bahasa Arab, perkataan  berfikir merujuk kepada kalimah tafakkur. Seorang ulama bahasa Arab, al-Fairuzabadi menerangkan al-fikr (berfikir) sebagai tindak balas fikiran seseorang
al-fikr  dan al-tafakkur membawa makna yang sama maksud. Ibnu al-Manzur pula mencadangkan kalimah tafakkur sebagai al-tafkir. Manakala al-Jauhari mendefinisikantafakkur sebagai mendiamkan diri sambil berfikir.
Terdapat beberapa kalimah yang membawa maksud berfikir yang terdapat di dalam al-Quran. Malik Badri, seorang pakar psikologi Islam mendefinasikan tafakkur sebagai perkataan yang mempunyai maksud yang lebih mendalam berbanding kalimah tafkir.Tafakkur menjadi penghubung yang dipanggil sebagai ‘Itibar  dalam kehidupan manusia dengan pencipta mereka. Oleh itu, tafakkur juga boleh dianggap sebagai pemberi motivasi kepada orang-orang yang beriman untuk terus beriman kepada Allah..
Hakikatnya, Islam amat menggalakkan umatnya berfikir. Malik Badri, mengkategorikan tiga peringkat Tafakkur iaitu;
  1. Memberi konsep kepada sesuatu idea atau maklumat.
  2. Menumpukan perhatian terhadap sesuatu idea atau maklumat tersebut.
  3. Membawa kepada memikirkan tentang Allah sebagai Pencipta yang Maha Agung serta menghasilakan iman yang kuat.
Sehubungan itu, tafakkur juga merupakan ibadah dan mendapat pahala dengan syarat ianya bergantung kepada keikhlasan dan niat seseorang. Bahkan, Abbas Al-Aqad melihat bahawa berfikir di dalam Islam merupakan perkara yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam.
Konsep Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kritis  
Menurut George (1970) dalam Som dan Mohd Dahalan (1993) menyatakan bahawa pemikiran ialah suatu proses penyelesaian masalah dan perlakuan semula jadi yang kompleks. Sementara Edward de Bono (1976) pula menyatakan pula terdapat perkaitan antara kemahiran berfikir dengan pemikiran lateral yang membawa maksud bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah, malahan juga berfikir untuk melihat sesuatu berdasarkan pelbagai perspektif bagi menyelesaikan masalah.
Selain itu, Mayer (1977) menyatakan bahawa kemahiran berfikir sebagai proses operasi-operasi mental tertentu yang berlaku dalam minda atau system kognitif seseorang yang bertujuan menyelesaikan masalah. Manakala, Chaffee (1988) pula berpendapat bahawa kemahiran berfikir ialah proses luar biasa yang digunakan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Vincent Ryan Ruggiero (1984) pula berpendapat“Thinking is any mental activity that helps formulate or solve a problem, make a decision, or fulfil a desire to understand. It is a searching for answers, a reaching for meaning.” Selari denga itu, John Barell (1991) mendefinasikan kemahiran berfikir iaitu; “…I define thinking as a search for meaning and understanding that can involve tha anventurous generation of options, the attempt to arrive at logical, reasonable judgements, and reflection on the process ”
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pemikiran ialah proses penggunaan minda seseorang di dalam usaha memahami, mencari makna, penerokaan idea atau ciptaan, membuat keputusan, menyelesaikan masalah terhadap perkara yang dilalui oleh seseorang.
Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif di dalam al-Quran
Terdapat beberapa istilah yang digunakan di dalam al-Quran yang merujuk kepada makna berfikir, antaranya ialah; tafakkurta’akulta’abburtazakkur dan tadabbur. Manakala terdapat juga istilah asalnya sebagai pancaindera tetapi yang membawa umat Islam supaya berfikir, antaranya ialah basharanadzara dan sami’a.
tafakkur (memikirkan)
 “Katakanlah : “Aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku. Dan tidak aku mengetahui perkara ghaib, dan aku tidak juga menngatakan bahawa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepada ku”. Katakanlah : ”Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?” maka apakah kamu tidak memikirkannya. (Al-An’am : 50)
ta’akul (mengguna akal)
“Mengapakah kamu suruh orang lain berbuat baik, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu mengguna akal ”.(Al-Baqarah : 44)
ta’abbur (memerhati dengan teliti)
“…maka ambillah pengajaran wahai orang yang mempunyai pandangan”. (Al-Hasyr : 2)
tazakkur (mengambil peringatan)
“”Dan dia dibantah oleh kaumnya. Dia berkata” Apakah kamu hendak membantahku tentang Allah, padahal sesungguhnya Allah telah memberi petunjuk kepadaku.” Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah kecuali di kala Tuhanku menghenddaki sesuautu (dari malapetaka) itu. Pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Maka apakah kamu tidak mengambil peringatan?” (Al-An’am : 80)
tadabbur (mempertimbangkan)
“Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalam al-Quran ” (An-Nisa’ : 82)
bashara (memperhatikan)
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa Kami menghalau (awan yang mengandungi) air ke bumi yang tandus, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman yang daripadanya menjadi makanan binatang ternakan dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan”. (As-Sajdah : 27)
nadzara (melihat)
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan”. (Al-Ghasyiah : 17)
sami’a (mendengar).
“dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, beberapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengar?”
(As-Sajdah : 26)
Unsur-unsur Kemahiran Berfikir Secara Kritis Dan Kreatif
Selain itu, terdapat juga unsur-unsur KBKK yang terdapat di dalam al-Quran. Antaranya adalah seperti berikut;
Unsur membanding dan membeza
“… Katakanlah “Adakah sama keadaan orang yang buta dengan orang yang melihat?”(Al-An’am : 50).
“Perbandingan antar a dua golongan (orang kafir dan orang beriman) seperti keadaan orang yang buta dan pekak dengan orang yang melihat dan mendengar, adakah sama kedua-duanya? Adakah kamu tidak mengambil pengajaran?”(Hud : 24)
Unsur membuat kategori
Di dalam surah Al-Baqarah, Allah telah mengkategorikan manusia kepada beberapa golongan, iaitu; golongan orang beriman kepada kitab yang telah diturunkan, beriman kepada perkara-perkara ghaib, beriman kepada hari akhirat, mendirikan solat serta menunaikan zakat. Mereka ini adalah golongan yang mendapat petunjuk dan kejayaan. (Al-Baqarah : 1-5).
Manakala, golongan orang kafir pula ialah orang yang tidak beriman sama ada telah diberi peringatan atau tidak. Ini kerana hati, pendengaran dan peglihatan orang yang kafir telah ditutup oleh Allah untuk menerima kabaikan. Bagi mereka disediakan azab yang pedih diakhirat.(Al-Baqarah : 6-7).
Manakala, bagi golongan munafik pula mereka berpura-pura beriman kepada Allah dan hari akhirat. Mereka hendak menipu Allah dan orang beriman. Tetapi sebenarnya mereka sedang menipu diri mereka sendiri. Perkara ini terjadi kerana di dalam hati mereka terdapat penyakit hati. Kemudian Allah tambahkan lagi penyakit tersebut. Bagi mereka juga disediakan balasan azab yang pedih kerana pembohongan mereka.(Al-Baqarah : 7-16)
Unsur menerangkan sebab
“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: “pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat. Tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaat yang ada…”” (2 : 219)
Unsur menentukan sumber yang dipercayai
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpa musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu” (49:6)
Unsur mencipta analogi dan mencipta metafora
“Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba abdi yang dimiliki yang tidak berdaya melakukan sesuatu dan seorang yang Kami beri rezeki yang baik. Lalu ia menafkahkan sebahagian rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan. Adakah mereka itu sama? Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya”(An-Nahl : 75)
Mereka bertanya tentang perang di bulan Haram. Katakanlah : 
“Berperang dalam bulan haram itu berdosa besar. Tetapi menghalang manusia dari jalan Allah dan Kafir kepada Allah lebih besar, (menghalang manusia) ke Masjidil Haram dan menghalau penduduk sekitarnya lebih besar dosanya disisi Allah….”(Al-Baqarah : 217)
Unsur membuat keputusan
“Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakkal” (3:159)
Rumusan:
Kesimpulannya, terdapat terlalu banyak ayat al-Quran yang menerangkan tentang berfikir dan galakann berfikir. Ilmu yang terdapat di dalam al-Quran tidak akan dapat dihabiskan kerana ianya bersifat mukjizat sepanjang zaman. Walaupun Islam menggalakkan umatnya supaya berfikir sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis, tetapi Islam juga membataskan umatnya daripada berfikir tentang zat Allah. Malahan Allah sentiasa menyuruh umatnya berfikir tentang penciptaannya kerana daripada situ kita akan dapat mengenal dan mengagungkan pencipta kita iaitu Allah s.w.t.
Sebagaimana hadis daripada Ibn Abbas r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Fikirkanlah mengenai segala apa jua yang diciptakan Allah, tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah. …” (H.R. Abu al-Sheikh). Berdasarkan hadis ini menunjukkan bahawa nabi Muhammad s.a.w. sendiri menggalakkan umatnya berfikir, apatah lagi kita sebagai hambanya haruslah menggunakan akal fikiran yang Allah anugerahkan ini untuk berfikir dan membina idea-idea yang baik dan bernas secara kritis dan kreatif dan kita manfaatkan bersama sesama manusia yang lain.
Rujukan:
Al-Quran Al-Karim
Al Hamshy. Muhammad Hasan. (tt). Quran Karim, tafsir Wa Bayan Ma’a Asbab An-Nuzul Lil Sayuthi. Beirut: Dar Al-Rasyid
Beyer, B.K. (1991) Developing a Thinking Skills Program. Allyn and Bacon, Boston.
Chaffee, J. (1988). Thinking Critically. Boston: Houghton Mifflin Company.
De Bono, E. (1976). Teaching Thinking. England: Penguin Books.
Fraenkel, J.R. (1980). Helping Students Think and Value: Strategies for Teaching the Social Studies. Englewood Cliffs,. New Jersey: Prentice-Hall, INC.
Ibnu Kathir. (1970). Tafsir Al-Quran Al-‘Azim. Beirut: Dar Al-Fikr.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001. Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Pusat Perkembangan Kurikulum. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mayer, B. (1983). Thinking, Problem Solving, Cognition. New York: Allyn Bacon.
Som Hj Nor dan Mohd Dahalan Ramli. (1993). Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif – Pengenalan Am. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur


Recommend on Google