Home » » Hukum Berdoa dengan berlatar belakangkan muzik

Hukum Berdoa dengan berlatar belakangkan muzik

Written By puterablog1malaysia on Sunday | 9:00 AM


Membicarakan tentang doa yang dipohon  oleh seseorang hamba kepada Allah SWT dengan berlatar belakang bunyian muzik adalah persoalan yang perlu kita lihat dari dua dimensi yang berbeza. Pertamanya dari sudut kedudukan doa dan tuntutanya dalam Islam dan Keduanya penggunaan muzik dalam Islam.
Doa dalam Islam adalah senjata bagi orang-orang mukmin dan ianya adalah satu ibadat yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh seseorang hamba.
Sabda Rasulullah SAW: "Doa adalah ibadah". (Hadith Riwayat  Imam Bukhari) 

Ia merupakan satu tanda kerendahan hamba terhadap Allah S.W.T. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu doa itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, tertib penuh tawadu’ dan mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa tidak boleh dilakukan sebagai satu budaya atau adat. Doa merupakan satu cara hidup yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.
Al-Quran mengajarkan kepada kita tentang tuntutan doa;

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Al – Baqarah : 2: 186)
Memandangkan doa adalah sebagai suatu ibadah, maka adalah lebih afdhal dan utama dipohon dengan mengikut adab-adab yang telah ditentukan oleh syarak. Antaranya ialah dengan melakukan dengan suasana dan tempat yang betul, masa yang bersesuaian dan di pohon dalam suasana yang baik.
Firman Allah SWT;
Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang orang yang lalai (Al – A'raf : 7: 205)


Hadith Rasulullah SAW 


Jauhilah sajak ketika kamu berdoa, kerana Rasulullah dan para sahabatnya tidak melakukan perkara demikian.
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)





Berdoalah kepada Tuhanmu dengar merendah diri dan suara yang lembut, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas (tentang yang diminta dan cara meminta).(Al A’raf / : 55)

Persoalanya ialah bagaimana kita hendak memanjatkan doa dalam keadaan yang tidak diredhai oleh Allah SWT seperti adanya bunyian muzik walaupun bagi tujuan menambahkan khusyuk? Apakah dengan muzik kita menjadikannya alternatif untuk menghadirkan kekhusyukkan diri kepada Allah SWT. Sudah pasti ianya perkara yang ditegah sebagaimana dalam kaedah fiqh “ matlamat tidak menghalalkan cara”
Al-Imam  Abu Hamid Al-Ghazali telah membincangkan permasalahan hukum nyanyian dan muzik dengan panjang lebar dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dalam juzuk yang kelapan bahagian al-Adat
al-Imam Al-Ghazali menyatakan sebab pengharaman alatan yang disebut di dalam hadith-hadith Nabi SAW,  adalah kerana peralatan – peralatan tersebut pada kebiasaanya  digunakan oleh orang-orang fasiq, pengamal maksiat dan peminum-peminum arak bahkan menjadi syiar mereka.
Sedangkan menurut ulamak-ulamak Islam seperti Imam Syafei berpandangan dalam kitab Adabul Qadhi; sesungguhnya nyanyian adalah makruh menyerupai batil. Barangsiapa yang banyak menyanyi maka dia itu tergolong orang bodoh yang ditolak kesaksiannya.
Menurut Imam Syafei makruh menggunakan sejenis alat atau benda yang diketuk dengan kayu (at taqtagah) dan mengatakan bahawa alat itu dicipta oleh orang-orang zindiq yang melalaikan manusia daripada Al Quran. Menurut Imam Syafei lagi, dimakruhkan menurut hadis bermain muzik dengan nard lebih besar makruhnya permainan dengan alat yang lain.
Wassalam.

Disediakan oleh:
Ustaz Mohamad Shukry Sulaiman
Ahli Panel MUIS
Recommend on Google