ANTARA INTAN DGN PERMATA, SAYA TETAP PILIH ISLAM - NURAISYAH CHUA ABDULLAH.
PENSYARAH muda ini tidak menafikan senario sebilangan besar saudara baru yang mendalami Islam sebelumnya kerana terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya atau tertarik dengan Islam selepas melihat kehidupan teman-teman yang beragama Islam.
Namun bagi Nuraisyah Chua Abdullah, 30, penerimaan Islamnya melalui cara yang cukup berbeza dan unik.
Chua Bee Teen, nama sebelum Islamnya, mengakui mendekati Islam dengan membuat kajian, pemerhatian dan melalui pembelajaran. "Saya memeluk Islam bersendirian. Keluarga saya masih belum beragama Islam. Sayalah dalam adik-beradik yang memecah tradisi. Ibu bapa saya beragama Buddha, manakala kakak-kakak pula menganut agama Kristian."
"Malah keputusan muktamad yang diambil ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ia adalah keputusan ikhlas saya sendiri,'' kata anak bongsu daripada empat adik-beradik ini sewaktu ditemui pada majlis diskusi bukunya berjudul, Kisah Saya Saudara Baru di pusat membeli-belah terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.
Malah menurut Pensyarah Undang-undang di Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor ini lagi, hakikatnya semenjak dari sekolah rendah lagi, beliau tidak meminati mata pelajaran Sejarah yang dianggap membosankan kerana terpaksa menghafal tarikh, tahun dan tokoh-tokoh sejarah.
"Namun apabila belajar subjek Sejarah Islam di tingkatan enam, lain pula jadinya. Saya mula tertarik, terutama tentang kisah tokoh-tokoh agama Islam. Yang pasti, ia sungguh berbeza dengan tokoh-tokoh sejarah yang pernah saya pelajari suatu ketika dahulu.
"Semangat mereka dalam menyebarkan syiar Islam sangat ketara dan tiada tolok bandingnya. Malah dalam kelas inilah, saya banyak belajar dan menghafal potongan-potongan ayat al-Quran, khasnya dalam surah Saba', perihal kesuburan tanah di daerah Saba' dan surah al-Alaq tentang kewajipan umat Islam menuntut ilmu.
Memahami
"Pada awalnya matlamat saya hanya untuk memantapkan penulisan esei peringkat menengah tinggi, agar memperoleh keputusan yang cemerlang tetapi tidak menyangka sama sekali pelajaran ini telah membantu saya memahami Islam,'' cerita Nuraisyah yang pernah memenangi peraduan menulis esei peringkat negeri pada zaman persekolahannya dulu.
Malah minat beliau mengaitkan tulisannya dengan aspek Islam telah menimbulkan tanda tanya di kalangan guru di sekolah, yang menganggap beliau serius tentang agama Islam. Namun jawapan beliau yang bercadang mendalami agama Kristian selepas peperiksaan STPM, menghampakan sebahagian guru, terutamanya guru Ekonomi, Cikgu Zu. Beliau merupakan satu-satunya guru yang berkeyakinan Chua akan memeluk Islam suatu hari kelak. Alhamdulillah, Nuraisyah memeluk Islam pada usia 19 tahun.
Anak kelahiran negeri Perak ini turut berterima kasih kepada para pensyarah dan insan yang sentiasa prihatin kepada dirinya sepanjang perjalanan menuju Islam. Baginya, mereka adalah pendidik, kaunselor dan keluarga kepadanya.
Berkongsi pengalaman selepas mengucap dua kalimah syahadah, kata Nuraisyah, ramai di kalangan saudara baru menghadapi kesukaran, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baru Cina. Berlainan dengan ibu beranak dua ini, akui Nuraisyah, beliau tidak menghadapi masalah besar dalam hal ini. Perayaan Tahun Baru Cina adalah perayaan kebudayaan orang-orang Cina dan bukan sambutan keagamaan. "Berlainan dengan hari raya yang disambut oleh umat Islam, ia lebih kepada tujuan ibadat. Cumanya, persamaan antara kedua-dua perayaan ini adalah pada amalan kebudayaan kedua-dua perayaan tersebut, mereka mengambil peluang mengeratkan hubungan antara satu sama lain, sanak saudara dan rakan taulan. Itu sahaja."
"Selagi amalan semasa perayaan Tahun Baru Cina itu tidak bercanggah dengan hukum syara', maka tidak ada masalah bagi saudara baru meraikannya,'' jelas graduan Sarjana dalam bidang Perbandingan Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Menurut Nuraisyah lagi, pada awal pengIslamannya, terutama dalam tempoh dua tahun pertama di universiti, setiap kali tibanya cuti semester, detik itulah dianggap paling krisis atau mengalami dilema dalam diri. "Bermacam-macam persoalan bermain di fikiran saya. Apa yang patut saya lakukan pada cuti kali ini, soalan yang sentiasa berlegar di minda. Hendak pulang ke rumah, kasihan keluarga terutamanya kepada nenek, ayah dan ibu yang terpaksa menjawab segala persoalan jiran tetangga dan rakan mereka mengenai diri saya."
"Namun, walau apa jua rintangannya, saya tidak pernah tidak pulang ke rumah setiap kali cuti semester. Kadang-kadang apabila keadaan menjadi genting, saya akan membuat alasan pulang ke kolej,'' luah Nuraisyah sayu.
Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak berpanjangan, kata beliau. Ia beransur pulih apabila beliau mula bekerja sambilan semasa cuti semester.
Seperkara lagi, berkaitan dengan kepulangannya ke rumah ialah kerisauannya setiap kali tiba waktu makan kerana kebiasaannya Nuraisyah akan berkongsi makanan dengan nenek. Di samping itu, beliau jugalah yang menyediakan, mengemas dan membasuh pinggan mangkuk. "Jadi saya sudah tidak makan sepinggan dengan ibu dan cuba mengelak membersihkan pinggan dan meja yang ada benda-benda haram. Melihat perubahan ini, seluruh ahli keluarga tidak berpuas hati. Keadaan ini amat menyedihkan"
"Kadang kala untuk duduk semeja pun rasa tidak selesa. Hinggakan ada ketikanya saya terpaksa mencari alasan bagi mengelak situasi genting ini, sungguhpun saya tahu perbuatan ini boleh menjejaskan hubungan saya dengan nenek, ibu dan ayah,'' cerita Nuraisyah.
"Maafkan saya ayah, ibu dan nenek. Saya begitu sayangkan kamu. Namun, apabila diminta memilih antara intan dan permata, saya tetap memilih Islam,'' celah Nuraisyah pantas serta bernada sayu. Bertanyakan bagaimana nama Islamnya ditemui, terang Nuraisyah, semuanya adalah atas bantuan Cikgu Zu. Nama Aisyah dipilih bersempena dengan nama isteri Rasulullah s.a.w. yang disegani kerana ilmu pengetahuannya yang tinggi dan jiwanya yang kental.
Pengalaman
Harapan Nuraisyah, semoga dengan penggunaan nama ini, hidup beliau akan disinari dengan cahaya ilmu dan dalam masa yang sama, dapat mencontohi keperibadian wanita mulia ini.
Kisah pengalaman pertama kali Nuraisyah berpuasa di rumah juga begitu menyentuh. Cerita beliau, ia berlaku sebelum memasuki pengajian peringkat ijazah di UIAM. Pada masa itu, beliau masih menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Keluarga kekok dengan perubahan dirinya. Manakan tidak, anak mereka langsung tidak makan atau minum dari pagi hingga ke malam.
Manakala pengalaman kedua berpuasa iaitu pada tahun pertama di universiti bersama rakan-rakan pengajian.
"Bahagian akhir bulan puasa, saya habiskan di rumah kerana cuti semester bermula. Saya terkejut, apabila ibu sudahpun membeli lauk-pauk dan kuih-muih dari gerai Ramadan di pasar berhampiran dengan rumah kami.
"Insiden itu begitu pilu hingga saya mengalirkan air mata. Malah tambah menyayat hati apabila ibu, bangun seawal empat pagi menyediakan juadah sahur. Pada masa itulah saya sedar kebenaran sebuah hadis dalam buku karangan Yusuf Qardhawi, "Sesungguhnya doa orang yang berpuasa ketika berbuka, tidak ditolak,'' syukur Nuraisyah.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan pemuda pilihan hati yang berasal dari Kedah, Ramzyzan Ramly.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan; Nurafiqah Farhani, 5, dan Nurqistina Nabila, sembilan bulan.
Pengalaman berharga beliau yang bergelar saudara baru telah dibukukan dan kini sedang berada di pasaran.
Menurut Nuraisyah, buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat, tidak kira agama dan bangsa seseorang itu. "Semoga sumbangan kecil ini bermakna dan membantu mereka agar lebih memahami dan mengenali saudara baru. Malah saya yakin, semua ujian yang dihadapi adalah untuk menyiapkan diri kita ke arah kehidupan yang lebih baik pada masa depan,'' pesan Nuraisyah mengakhiri perbualan.https://www.facebook.com/notes/remaja-islam-malaysia/antara-intan-dgn-permata-saya-tetap-pilih-islam-nuraisyah-chua-abdullah/203469666359009
0 Rakyat Bersuara:
Post a Comment